Penulis : Hasrizal Abd Jamil
Penerbit: Galeri Ilmu
Harga : RM 60 termasuk pos.
Aku Terima Nikahnya (2008), bermula daripada percubaan saya untuk memahami apa yang telah dan sedang saya lalui. Menilai kembali setiap satu langkah kecil yang diambil menuju kehidupan berumahtangga, Tauhid dan cinta menjadi sendi dan nadi membina mahligai impian.
Namun menjenguk kehidupan daripada jendela cinta, lebih sering mengurniakan pelangi, warna yang menghimpun semua perasaan kita. Calon pencinta menjadikannya sebagai persediaan. Pencinta semasa mengambilnya sebagai perencah rasa. Pencinta semalam bercermin diri menjadikannya sebagai renungan.
Aku Terima Nikahnya terbuka kepada apa sahaja bentuk tanggapan dan jangkaan. Namun setinggi syukur kepada Allah atas setiap kebaikan yang diperolehi oleh mereka yang memanfaatkan. Perjuangan Aku Terima Nikahnya adalah untuk menyuntik keyakinan, bahawa kebejatan fitnah hidup semasa, tidak sama sekali menjadikan cinta dan perkahwinan berteraskan Islam, mustahil tegak di tengah arus yang derunya bertentangan.
Bercinta Sampai ke Syurga (2009) memanggil burung pulang ke sarang. Puas terbang tinggi meninjau kehidupan, sekual Aku Terima Nikahnya ini menjemput pembaca untuk terus menyapa awan namun kaki jangan memencil bumi. Ia penuh dengan liku-liku perjalanan rumahtangga dan perkahwinan. Antara pedas, manis dan pahit. Tiga rasa yang merencah realiti kehidupan.
Jika Aku Terima Nikahnya membekalkan saranan membina kehidupan bersendikan Syariatullah, Bercinta Sampai ke Syurga pula menyuluh keperluan Sunnatullah. Syariat dijaga, hukum hakam dipelihara, namun rumahtangga tetap bergelora kerana Kitab Kalam tidak harus terpisah daripada Kitab Alam. Sunnatullah yang ditempa Allah sebagai sifir kehidupan, jangan disanggah, jangan diremeh temehkan.
Membina jambatan keserasian antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak, ahli keluarga dan persekitaran, semuanya harus tunduk kepada hukum alam tentang hubungan manusia.
Perkahwinan bertambah usia, anak-anak bertangga dewasa. Rumahtangga beralih ke fasa seterusnya, nikmat dan cabaran saling bersulam mematangkan kehidupan. Di medan itulah Bercinta Sampai ke Syurga menghidang cerita. Serunya bukan untuk kehidupan yang sementara. Ia suatu jemputan, mengajak pasangan yang hangat berkasih, bercinta selama-lamanya, hingga ke Syurga.
Murabbi Cinta (2010) bukan ulangan cerita. Setelah Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Sampai ke Syurga bermain peranan di pesada kembara insan mengenal Tuhan dan kehidupan, Murabbi Cinta mahu mengenengahkan sumber inspirasi terbesar seluruh perkongsian.
Pelbagai modul cinta terhidang di depan mata. Hingga kita mungkin terlupa, bahawa tiada insan yang hatinya mampu berkasih, seperti naluri Murabbi Cinta, Uswah Hasanah teladan mulia, Muhammad yang Amin, sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Itulah tema Murabbi Cinta. Mengajak diri saya meneladani seorang Nabi. Utusan Allah yang tidak pernah mensesiakan kuasa cinta, pada menjinakkan umat kepada agama. Cinta dan Tauhid menjadi satu, bekalan teragung sepanjang zaman.
Sunnahnya menjadikan kita hidup bercara. Sunnahnya menjadikan masalah dan cabaran hidup sebagai laluan menjadi dewasa. Sunnahnya mencegah lemah dan putus asa. Sunnahnya terungkap di naskhah Murabbi Cinta, agar semua kebaikan yang sempat dilontar cerita, menambahkan penghargaan dan kasih, kepada mahaguru kita yang satu, Rasulullah Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam.